Sunday, August 24, 2008

Yuran bulanan dan Tabung Khairat Kematian BKMIE6

Salam,

Badan kebajikan Masyarakat Islam Taman Impian Emas fasa 6 (BKMIE6) adalah dalam proses mengemaskini dan juga pendaftaran ahli baru penduduk Islam fasa 6, taman kita. Borang berkenaannya telah diedarkan dan diharap dapat dikembalikan pada atau sebelum 31 Ogos 2008 (dalam surat edaran dinyatakan 26 Ogos 2008).Bagi yang sudah menjadi ahli, mereka maklum dengan yuran bulanan sebanyak rm 10.00. Sumbangan bulanan sebanyak RM 10 ini sebenarnya telah dipersetujui semasa badan ini mula-mula ditubuhkan pada tahun 2004. Dengan adanya sumbangan/yuran dari ahli, dapatlah program-program seperti keagamaan, sosial, sukan dan kebajikan dapat dijalankan bagi manfaat penduduk.

Program/aktiviti dan sumbangan yang pernah dijalankan sejak 2004 adalah seperti Rumah terbuka Hari Raya, Sambutan Maulidurasul, Marhaban, Majlis Yasin dan Tahlil, kenduri kahwin, Solat Terawih, penyediaan Moreh, Majlis berbuka puasa beramai-ramai, sumbangan kepada pasangan yang mendapat cahayamata.
Selain itu, yuran bulanan ini juga berfungsi sebagai Tabung Khairat Kematian.

Sebagai contoh:-
Bil Ahli : 100 keluarga
sumbangan setahun : RM120.00 (RM10/bulan)
Jumlah dikumpul : RM 12000.00 setahun

Dengan jumlah dikumpulkan itu, maka pelbagai aktiviti dapat dijalankan bagi manfaat penduduk Islam di sini. Selain itu, tidaklah lagi perlu kutipan dilakukan setiap kali kita ingin menjalankan aktiviti.

Diclaimer* Ini adalah cadangan dan pandangan peribadi dan tidak dalam apa jua keadaan mewakili Badan kebajikan Masyarakat Islam Taman Impian Emas fasa 6(BKMIE6).

Program sempena Ramadan 1429


Salam,
Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menemui bulan Ramadan. Untuk memanfaatkan kelebihan Ramadan ini, BKMIE6 telah menyusan program keagamaan sepanjang bulan tersebut. program tersebut termasuklah Solat Isya' dan Terawih secara berjemaah, giliran penyediaan Moreh dan Majlis berbuka puasa beramai-ramai. Solat Terawih dan Moreh adalah sepanjang Ramadan (dijangka hingga 27 Ramadan) memandangkan ramai diantara kita sudah mula kembali ke kampung halaman/ bandar masing-masing.
Majlis berbuka puasa pula dijadualkan pada 13 Ramadan/13 Sept, Sabtu bermula jam 6.20 petang. majlis akan dimulakan dengan Tahlil. Surat berkenaan program-program ini akan diedarkan selewatnya awal minggu ini.
Diharap kita semua dapat mengambil peluang dan kelebihan Ramadan ini dengan bersama-sama menjayakan program yang akan telah dirangka.
Islam untuk SEMUA. Wassalam.

Ceramah persediaan menyambut Ramadan


Salam,

Semalam, 23 Ogos 2008 jam 3 petang telah diadakan satu ceramah bertajuk "Persediaan menyambut Ramadan". Ceramah ini dikhaskan untuk kaum Muslimah penduduk taman kita. Penceramah ialah penduduk kita juga iaitu Ustazah Nabilah Jaafar.
Dari maklum balas yang diterima, bilangan yang hadir lebih kurang 15 orang, iaitu satu angka yang kurang memberangsangkan, melihat kepada manfaat yang diperolehi dari ceramah itu. Oleh itu, disarankan supaya para Muslimah taman kita perlu mencari ruang dan mengambil sedikit masa untuk program bermanfaat anjuran taman ini. Selain dapat menambah ilmu, program ini juga dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama mereka. Bagi para suami/ bapa pula, perlulah sentiasa memberi galakan dan sokongan bagi aktiviti taman yang dianjurkan.

Wassalam.



Saturday, August 16, 2008

Yasiin dan Tahlil di rumah Hj Ibrahim

Salam,

Semua penduduk Islam fasa 6 Taman Impian Emas dijemput untuk menghadiri majlis Yasin dan Tahlil seperti berikut:

Nama Tuan Rumah: Hj Ibrahim B Endut
Alamat: No 24, Jln Bukit Impian 19 Fasa 6B
Tarikh: 16 Ogos 2008 (7.40 mlm - selepas Solat Maghrib)

Wassalam.

Friday, August 8, 2008

Hari Nisfu Sya'aban

Salam,

Hari Nisfu Sya'aban akan tiba pada hari Sabtu malam Ahad ( sebaik saja masuk maghrib),17hb Ogos 2008(selepas Maghrib pada hari 15 Sya'aban 1429H)

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil saat keemasan ini untuk menutup catatan amal ibadah kita kpd Allah dengan baik dan sempurna dan seterusnya berazam untuk memperbaiki diri kita untuk catatan yang baru. Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatanyang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)
Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:
1. Selepas solat maghrib (15 Sya'aban, ahad malam), Solat sunat nisfu sya'aban, 2 rakaat Rakaat 1 : baca Al-Fatihah & surah Al-Qadar 1x, Rakaat 2 : baca Al-Fatihah & surah Al-Ikhlas 3x

2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya (15 Sya'aban, ahad malam)
i) Selepas Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah
ii) Selepas Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah
iii) Selepas Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman & pohonlah segala yang baik.
Kemudian baca Istighfar 11x & selawat 11x Baca doa nisfu Sya'aban (ada didalam Yasin Majmuk)

3. Baca surah ikhlas 1000x

4. Berpuasa pada siangnya (Ahad)

Abul Khair Al Talaqaani r.a. mengira nama2 malam Nisfu Syaaban sebanyak 22.
Antaranya yg termasyhur adalah:
1. Malam Dimustajabkan Doa 2. Malam Pembahagian Takdir 3. Malam Rahmat 4. Malam Berkat 5. Malam Pengampunan (Taubat) 6. Malam Penebusan 7. Malam Syafaat 8. Malam Penulisan 9. Malam Keagungan dan Kemuliaan 10. Malam Rezeki 11. Malam Hari Raya ParaMalaikat 12. Malam Penghidupan
Antara kelebihan bulan Sya'aban:
1. Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Sya'aban maka Allah haramkan tubuhnya dari api neraka dan dia akan menjadi teman kpd nabi Allah Yusof didalam syurga.
2. Riwayat dari Osman Bin Abi Al-As, Sabda Nabi Muhammad (saw) : pada malam nisfu sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman : adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki & perempuan , melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya. Sebaik-baiknya minta ampun dengan ibubapa sebelum hari nisfu sya'aban kerana amalan kita akan terhalang dari diangkat ke langit sekiranya kita derhaka/berdosa dengan ibubapa kita.
Wallahua'alam